Mayat Wanita Tanpa Identiti Dijumpai Dibawah Jambatan Sungai Klang

 

KUALA LUMPUR 29 Julai – Mayat seorang wanita yang masih belum dikenal pasti identitinya ditemui dalam keadaan tertiarap di atas batu di bawah Jambatan Sungai Klang berhampiran Jalan Jurutera, Puchong, pada jam 11.58 pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata pihaknya menerima laporan awam tentang penemuan mayat itu sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa berpakaian serba hitam dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri atau barangan peribadi ditemui bersamanya,” jelasnya dalam satu kenyataan.


Beliau menambah pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah hadir di tempat kejadian dan mengklasifikasikan kejadian sebagai kes mati mengejut. “Berdasarkan keadaan badan, mangsa dipercayai telah berada di dalam sungai selama lebih kurang 24 jam dan mayat sudah mulai kembung,” kata ACP Wan Azlan.


Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Serdang, untuk menjalani bedah siasat yang dijadualkan pada pukul 8.00 pagi hari ini.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga yang sepadan dengan keterangan di atas diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor K. Vigneswaran, di talian 014‑922 9233 atau mana‑mana balai polis berhampiran.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post