SUAMI ISTERI DIREMAN TUJUH HARI BANTU SIASAT KEMATIAN BAYI ANGKAT


KUALA LUMPUR 31 Julai – Sepasang suami isteri direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan di sebuah kondominum di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.


Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata kedua-dua suspek, berumur 38 dan 50 tahun, merupakan ibu dan bapa angkat kepada mangsa. “Pasangan ini direman sehingga Rabu ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Mohamed Usuf, siasatan awal mendapati ibu kandung bayi tersebut ialah seorang wanita warganegara Indonesia dikenali sebagai Sri Rahayu. Suspek mendakwa bayi itu telah diserahkan oleh ibu kandungnya sebelum wanita terbabit pulang ke Indonesia pada 18 Jun lalu.


Beliau menambah proses bedah siasat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras, masih belum selesai dan keputusan penuh laporan forensik dijangka diperolehi dalam beberapa hari akan datang. “Kami memerlukan laporan lengkap bagi menentukan punca sebenar kematian mangsa,” katanya.


Terdahulu, polis menerima panggilan pada jam 9.34 malam daripada bapa angkat bayi tersebut yang memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri di kediaman mereka. Sepasukan anggota kemudiannya dihantar ke lokasi dan menemui mayat mangsa yang terbaring di ruang tamu dalam keadaan kebiruan serta terdapat kesan lebam di badan.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini atau kehilangan ahli keluarga yang sepadan dengan keterangan di atas diminta menghubungi Pegawai Penyiasat di balai polis berhampiran.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post