KUANTAN – Impian seorang pekebun durian meraih hasil lumayan jualan Musang King dan D24 yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Gunung Benum, Raub, tidak kesampaian apabila kenderaan pacuan empat roda yang membawa sebanyak 919 kilogram durian itu ditahan pihak berkuasa semalam.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zainuddin Jamaluddin, berkata rondaan selama empat jam bermula awal pagi berakhir dengan penahanan seorang lelaki berusia 48 tahun di lokasi ladang haram tersebut. “Kami menemui durian gred C dan D yang dipercayai untuk pasaran tempatan, dengan anggaran nilai pasaran sekitar RM5,000,” ujarnya.
Hasil siasatan awal mendapati pokok durian tersebut ditanam dalam Kompartmen 91 Hutan Simpan Gunung Benum tanpa kebenaran. Jabatan Perhutanan Negeri Pahang kemudiannya menyita kenderaan beserta hasil hutan itu sebelum tindakan lanjut diambil mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh kawasan hutan simpan.
Menurut Zainuddin, operasi bersepadu pencerobohan hutan simpan di Gunung Benum dilancarkan sejak 21 Julai lalu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pasukan Gerakan Am (PGA), Rela serta Pejabat Daerah dan Tanah Raub. “Lebih 40 anggota terlibat dalam rondaan berterusan selama 60 hari, menumpukan di sembilan kawasan tumpuan yang sering dijadikan lokasi pertanian haram,” katanya.
Suspek yang ditahan kemudiannya dibebaskan selepas memberi jaminan polis, namun kes akan disiasat lanjut oleh Pegawai Penyiasat JPNP sebelum sebarang tindakan undang-undang dikenakan. Zainuddin menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan individu yang terbabit dalam penerokaan haram. “Mana-mana pihak yang memasuki hutan simpan tanpa permit atau kebenaran jabatan boleh dikenakan tindakan tegas.”
Beliau turut memaklumkan papan tanda amaran telah dipasang di lokasi-lokasi strategik untuk mengingatkan orang awam bahawa aktiviti pertanian atau riadah dalam kawasan hutan simpan memerlukan permit rasmi dari Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
Post a Comment