POLIS REKOD KETERANGAN 60 SAKSI KES KEMATIAN ZARA QAIRINA

 

KOTA KINABALU 31 Julai – Polis Sabah telah merakam keterangan seramai 60 saksi termasuk pelajar, ibu bapa dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata dalam kalangan saksi tersebut adalah tiga individu yang dikenali sebagai ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’, yang turut dikaitkan dengan mangsa. 


“Semua saksi ini diambil keterangan secara berperingkat bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang kejadian,” ujarnya dalam sidang media di lobi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, hari ini.


Zara Qairina ditemui dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sekolah kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I). Beliau meninggal dunia keesokan harinya, dengan laporan awal menyatakan mangsa dipercayai terjatuh daripada tingkat tiga asrama.


Datuk Jauteh berkata polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kejadian itu, namun beliau menyerahkan siasatan punca sebenar kematian serta latar persekitaran mangsa kepada pasukan forensik Bukit Aman untuk analisis terperinci. “Siasatan kini menumpukan dua elemen utama: punca kematian dan persekitaran di sekolah,” katanya.


Berhubung dakwaan kononnya melibatkan anak atau keluarga kenamaan, Datuk Jauteh menafikan sekeras-kerasnya dan menegaskan tiada waris beliau yang pernah atau sedang bersekolah di institusi berkenaan. 


“Tuduhan tersebut tidak sihat dan boleh mengganggu proses siasatan yang dijalankan dengan penuh profesionalisme dan ketelusan,” tambahnya.


Beliau turut menzahirkan keprihatinan terhadap emosi saksi pelajar yang diambil keterangan, memandangkan mereka terdiri daripada rakan sekelas dan rakan asrama mangsa. 


“Kami mengambil masa yang sedikit lebih lama bagi memastikan setiap keterangan direkodkan dengan teliti dan saksi mendapat sokongan sewajarnya,” ujarnya. 


Siasatan kes ini dijangka lengkap dalam masa terdekat sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post