BANGKOK 9 OGOS – Dua pelancong warga Malaysia dilaporkan cedera selepas dibakar seorang lelaki Thailand di sebuah pusat beli-belah, dengan saksi menyatakan kedua-dua mangsa sempat berbual dengan suspek sebelum kejadian.
Menurut saksi, selepas berbual, mangsa beredar dan duduk di tangga pusat beli-belah berkenaan. Suspek dikenali sebagai Warakorn kemudian kembali menghampiri mereka, menuang bahan pencair (thinner) dan menyalakan api menggunakan pemetik api ketika mangsa cuba melarikan diri.
Orang ramai di lokasi segera campur tangan dan menahan suspek sehingga polis tiba. Ketika disoal siasat di Balai Polis Lumpini, Warakorn mengaku melakukan serangan tersebut dan berkata beliau tiada sebarang perselisihan dengan mangsa.
Suspek, seorang bekas peninju yang baru diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan, mendakwa tekanan akibat menganggur dan kelaparan mendorong tindakannya. Dia juga memaklumkan tidak makan pada hari kejadian. Ujian dadah ke atas suspek didapati negatif.
Polis kini bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia bagi membantu siasatan serta membincangkan langkah sokongan yang wajar.
Kedua-dua pelancong Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Pihak berkuasa merancang mengambil keterangan tambahan daripada mereka sementara siasatan diteruskan.
Post a Comment