KOTA KINABALU, 9 Ogos 2025 – Permohonan untuk menggali semula kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar hari ini bagi membolehkan bedah siasat dilaksanakan semula, kata peguam keluarga, Hamid Ismail.
“Kami kini dalam perjalanan ke IPD Papar. Selepas itu, proses penggalian semula akan dijalankan di Tanah Perkuburan Tanjung Hubi, Mesapol, Sipitang,” katanya ketika dihubungi.
Semalam (8 Ogos 2025), Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak berkuasa menggali semula kubur pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar itu, yang sebelum ini dikebumikan selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama. Menurut AGC, arahan tersebut antara langkah untuk memastikan siasatan menyeluruh dapat dijalankan dan membolehkan prosedur bedah siasat ke atas jenazah dilaksanakan bagi memperoleh maklumat serta bukti tambahan.
AGC sebelum ini memaklumkan menerima laporan penuh siasatan awal daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 3 Ogos 2025 di Cawangan Sabah dan 4 Ogos 2025 di Ibu Pejabat AGC di Putrajaya, namun laporan berkenaan dikembalikan kepada polis untuk dilengkapkan.
Insiden melibatkan Zara Qairina berlaku pada 16 Julai 2025 kira-kira jam 4 pagi, apabila beliau ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang di bawah bangunan asrama sekolah. Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Pada 31 Julai 2025, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, memaklumkan polis tidak menolak kemungkinan unsur buli dalam kejadian tersebut. Siasatan kini tertumpu kepada punca kematian serta persekitaran kejadian, dengan tindakan penggalian semula dijangka membantu melengkapkan siasatan berkenaan.
Post a Comment