Peguam Keluarga Saksi Usaha Teliti Forensik Kes Zara Qairina

 

KOTA KINABALU 11 OGOS – Seorang peguam keluarga, Shahlan Jufri, menjadi saksi sepanjang lapan jam proses bedah siasat terhadap jenazah Zara Qairina Mahathir, 13, yang dijalankan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini pada Ahad.


Shahlan, salah seorang peguam mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, berkata beliau merupakan satu-satunya wakil keluarga yang berada di bilik bedah siasat ketika prosedur dikendalikan oleh empat doktor pakar forensik. 


“Ini memang kali pertama saya berada di bilik bedah… pada awalnya gemuruh, kemudian rasa kasihan kerana terpaksa gali balik dan buat bedah siasat bukan perkara mudah, dan akhirnya insaf,” katanya ketika ditemui sejurus keluar dari bilik bedah siasat.


Menurutnya, pengalaman itu masih segar dalam ingatan sehingga beliau mampu menghuraikan langkah demi langkah proses yang dijalankan. “Saya masih tahu keadaan arwah bagaimana… semuanya masih segar dalam ingatan,” ujarnya.


Shahlan memaklumkan beliau hanya keluar sebentar sebanyak dua kali ke bilik kaca untuk mengambil udara segar, namun dipanggil semula oleh pasukan perubatan dalam tempoh kurang lima minit setiap kali. “Akhirnya saya putuskan untuk menunggu di dalam kerana proses berjalan berterusan,” katanya, sambil menambah beliau mematuhi prosedur keselamatan termasuk memakai pelitup muka sepanjang hadir.


Proses bedah siasat semula ini adalah sebahagian daripada usaha mendapatkan gambaran menyeluruh punca kematian Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, yang sebelum ini dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama. Keputusan penuh bedah siasat dijangka membantu melengkapkan siasatan pihak berkuasa.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post