BATU PAHAT 12 OGOS – “Saya nak balik… saya nak balik,” demikian rayuan seorang wanita selepas dia dan suaminya dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Yong Peng, hari ini, kerana membuang bayi yang baru dilahirkan di sebuah gerai makan hujung tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Aiman Kamalludin, 23, yang bekerja sebagai kelindan lori, dan isterinya Nurelly Fazreen Mohamad Mosnin, 22, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 43 tahun, peniaga gerai makan, yang menemui bayi perempuan baharu lahir di dalam kotak di tempat meletak lauk. Kes kemudian tular di media sosial sebelum ibu kepada tertuduh lelaki mengecam kain batik yang digunakan mirip miliknya, sekali gus membawa kepada penangkapan pasangan berkenaan yang pada ketika itu belum berkahwin. Kedua-dua mereka kemudiannya berkahwin pada Februari lalu.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh wanita melahirkan bayi pada 2.15 petang, 15 Disember, di sebuah bilik rumah sebelum kedua-dua mereka membuang bayi itu di gerai makan berkenaan. Sampel darah diambil daripada bayi dan pasangan tersebut, dengan hasil analisis menunjukkan padanan.
Post a Comment