Lelaki Maut Ditikam Di Taman Sri Pagi

 

SEREMBAN 12 OGOS – Seorang lelaki maut selepas dipercayai ditikam di hadapan sebuah rumah dekat Jalan Sri Pagi 15, Taman Sri Pagi, Senawang, petang semalam, dalam kejadian berpunca daripada perselisihan faham.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.50 petang. “Makluman awal mendapati seorang lelaki ditikam di Taman Sri Pagi. Siasatan awal menunjukkan kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, mangsa berusia 28 tahun dipercayai ditikam pada bahagian dada menggunakan pisau dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 7.28 malam oleh pegawai perubatan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.


“Suspek, lelaki warga tempatan berusia 31 tahun, berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai. Polis turut merampas sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam kejadian,” ujarnya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Permohonan reman ke atas suspek dibuat pagi ini dan mahkamah membenarkan reman sehingga 18 Ogos. Motif kejadian masih dalam siasatan.


Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post