KUALA LUMPUR, 13 Julai – Seorang pelajar kolej berusia 22 tahun maut dalam kemalangan selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang sebuah kereta di Kilometer 289.9 Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban arah ke ibu kota, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9.15 malam apabila sebuah Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun memperlahankan kenderaan di lorong tengah susulan satu kemalangan di hadapan.
“Tiba-tiba, motosikal dari arah belakang merempuh bahagian belakang kereta itu. Akibat pelanggaran tersebut, mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai dan berbahaya.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faezah di talian 012-3268496.
Pihak polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan peka terhadap keadaan sekeliling bagi mengelakkan tragedi seperti ini berulang.
Post a Comment