Wanita Tak Sangka Hamil Selepas 7 Tahun Tunggu Zuriat

 
 

Kisah penuh emosi seorang wanita yang tidak menyangka dirinya hamil selepas tujuh tahun mencuba untuk mendapatkan zuriat (TTC) mencuri perhatian ramai selepas dikongsikan oleh seorang doktor di aplikasi Thread.


Menurut Dr Amirul Asyraf Rusli, pesakit wanita dalam lingkungan usia 30-an itu datang ke klinik bukan kerana gejala kehamilan, tetapi disebabkan sakit belakang teruk selepas mengangkat barang ketika berpindah rumah.

"Dia kata selalu juga alami perut kembung (bloated), terutama lepas makan berminyak. Tak pernah pun terfikir itu petanda hamil,” ujar Dr Amirul.


Selepas pemeriksaan lanjut dan imbasan abdomen, Dr Amirul menemui sesuatu yang mengejutkan degupan jantung janin. Wanita itu kemudian diminta melakukan Ujian Kehamilan (UPT).

“Bila nampak dua garis pada UPT, saya masuk bilik konsultasi dan tunjuk strip. Tapi pesakit hanya terpinga-pinga, seperti tak percaya. Beberapa saat kemudian, dia terus menangis. Terharu sangat,” kongsi doktor itu.


Menurutnya, pesakit berkenaan pernah menjalani rawatan In Vitro Fertilisation (IVF) sebelum ini, namun belum berjaya, menyebabkan kehamilan semula jadi itu menjadi satu keajaiban yang tidak disangka.


Kisah itu bukan sahaja menyentuh hati doktor berkenaan, malah mencetuskan harapan dalam kalangan netizen khususnya mereka yang masih menanti rezeki anak.

“Saya pun sebak tengok dia menangis. Saya doakan semua yang sedang TTC, semoga Allah hadirkan zuriat pada waktu dan cara yang terbaik,” tulis Dr Amirul.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post