Pempengaruh Cedera Dahi dan Hidung Akibat Mesin Blender Mudah Alih

 

KOTA BHARU, 3 Julai – Seorang pempengaruh media sosial nyaris maut selepas mengalami kecederaan serius akibat insiden penggunaan mesin blender mudah alih (portable blender) di rumahnya di sini, baru-baru ini.


Mangsa, Wan Nur Aisyah Wan Aziz, atau lebih dikenali sebagai Aisyah, berkongsi pengalaman cemas tersebut yang berlaku ketika dia sedang menyediakan bahan masakan untuk hidangan daging goreng.


Menurut Aisyah, insiden bermula apabila dia cuba membetulkan kedudukan mata pisau pengisar kecil jenis chopper, yang kelihatan tidak berada di posisi yang betul. Tanpa disedari, suis pada plug dinding sudah terpasang, dan blender jenis ini akan berfungsi hanya dengan tekanan pada bahagian atasnya.


“Saya tidak perasan suis sudah hidup, dan semasa saya betulkan pisau, jari saya tanpa sengaja tekan bahagian atas. Pisau tajam itu terus berpusing dan terpelanting keluar, terkena wajah saya,” jelas Aisyah.


Kejadian berlaku begitu pantas sehingga Aisyah tidak sempat mengelak. Akibatnya, dia mengalami pendarahan teruk di muka dan segera dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan kecemasan.


Pemeriksaan doktor mendapati bahagian dahinya terbelah dan memerlukan enam jahitan, manakala lima jahitan lagi diperlukan di bahagian hidung.


Ibu kepada seorang anak ini mengakui kejadian tersebut meninggalkan trauma, dan dia kini lebih berhati-hati ketika menggunakan peralatan dapur elektrik.


“Siapa sangka alat kecil yang sepatutnya memudahkan kerja boleh bertukar menjadi perangkap bahaya. Saya harap perkongsian ini dapat menjadi peringatan buat semua, terutamanya golongan ibu yang kerap menggunakan blender di rumah,” katanya.


Aisyah turut menasihatkan orang ramai agar memastikan peranti dalam keadaan tidak berkuasa (plug dicabut) ketika mahu membersihkan atau membetulkan mana-mana bahagian mesin dapur, terutama yang mempunyai bilah tajam dan fungsi automatik.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post