KUALA LUMPUR, 3 Julai – Sepasang suami isteri ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran dan promosi video lucah secara dalam talian sejak tahun lalu, menerusi beberapa platform media sosial.
Pasangan berusia 34 tahun itu yang mempunyai empat anak, diberkas sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur dalam serbuan Op E-Noda di sebuah residensi di Seksyen 27, Shah Alam kira-kira jam 8 malam semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata siasatan mendapati suspek lelaki memainkan peranan utama sebagai pencipta kandungan lucah dan pengurus kepada isterinya yang dijadikan pelacur.
“Suspek mempromosikan penjualan video lucah serta menawarkan isterinya bagi aktiviti pelacuran melalui aplikasi Telegram dan aplikasi sosial X (dulu Twitter).
“Video-video berunsur lucah itu ditawarkan melalui ‘Private Channel Limited Content’ dengan bayaran RM50, manakala langganan ‘VVIP Unlimited Content’ dikenakan bayaran RM150,” katanya.
Beliau berkata, setiap sesi langganan seks pula dikenakan bayaran antara RM450 hingga RM800, dan perkhidmatan tersebut dilakukan di sebuah residensi bertaraf empat bintang.
Wanita terbabit dipercayai berperanan sebagai pelakon utama dalam setiap video yang dirakam untuk menarik minat pelanggan dan meningkatkan jualan.
Menurut Rusdi, pasangan itu dipercayai menjana pendapatan sehingga RM6,400 seminggu hasil daripada aktiviti tidak bermoral tersebut.
Kedua-dua suspek kini ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut beberapa seksyen iaitu:
- Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan – menjalankan kegiatan pelacuran,
- Seksyen 372A Kanun Keseksaan – menjadi pelanggan pelacuran,
- Seksyen 372B Kanun Keseksaan – membabitkan pihak ketiga dalam pelacuran, dan
- Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 – penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian.
Pasangan tersebut telah direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan memantau penggunaan media sosial dalam kalangan ahli keluarga, khususnya golongan muda.
Post a Comment