Polis Buru Empat Suspek Bakar Lima Kenderaan Mewah

 

SHAH ALAM, 3 Julai – Polis sedang mengesan empat suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian kebakaran lima kenderaan mewah di hadapan sebuah rumah di Bandar Tropicana Aman, Bandar Saujana Putra, awal pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.45 pagi, sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.


“Siasatan awal mendapati pemilik rumah dan kenderaan yang terlibat merupakan seorang lelaki tempatan berusia lewat 20-an, dan semasa kejadian, mangsa serta ahli keluarganya tiada di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Kejadian itu dipercayai dilakukan oleh empat suspek lelaki yang masih belum dikenal pasti identiti mereka. Kebakaran tersebut mengakibatkan kerosakan teruk pada bahagian hadapan rumah dan kemusnahan keseluruhan lima buah kenderaan mewah, dengan anggaran kerugian RM1.6 juta.


Sehubungan itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Mohd Akmalrizal turut menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian atau suspek agar segera menghubungi balai polis terdekat atau Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222.


Polis kini giat menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan perumahan berkenaan bagi membantu mengenal pasti pelaku sebenar.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post