Penganggur Didakwa Bunuh Ibu, Bapa dan Anak Saudara

 

MUAR, 9 Julai – Seorang penganggur yang kini sedang menjalani hukuman penjara sembilan tahun atas kesalahan mencederakan anak saudaranya, hari ini didakwa pula di Mahkamah Tinggi Muar atas tiga pertuduhan membunuh ibu, bapa dan seorang lagi anak saudaranya dalam satu kejadian tragis di Pagoh, Ogos tahun lalu.


Tertuduh, Azman Mohamed Nor, 48, yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda akibat penyakit saraf, didakwa di hadapan Hakim Suria Kumar DJ Paul mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.


Azman yang masih bujang, berdepan pertuduhan membunuh:

  • Ibunya, Ara Abd Hamid, 76,
  • Bapanya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan
  • Anak saudaranya, Noradriana Nor Hasyim, 11,


Dalam tempoh antara jam 1 hingga 3 pagi pada 9 Ogos 2023 di sebuah rumah di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan, Pagoh.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqiilah Ahmad Rofaie, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Azman mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.


Pihak pendakwaan memohon tarikh baharu untuk pengurusan kes kerana beberapa dokumen termasuk gambar lokasi kejadian masih belum lengkap.


Mahkamah menetapkan 27 Ogos 2025 untuk serahan dokumen dan lantikan peguam oleh tertuduh. Terdahulu, pada 16 Mei 2025, Mahkamah Majistret Muar membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk pendakwaan lanjut.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post