SEMENYIH, 10 Julai 2025 – Seorang pengusaha restoran nasi kandar, Shukril Amry, 28, mengejutkan pelanggan tetap apabila mengumumkan penutupan Restoran Nasi Rozail miliknya yang telah beroperasi sejak tahun 2020.
Lebih mengejutkan, gangguan mistik didakwa menjadi punca utama penutupan itu selepas perniagaan semakin merosot sejak 2023.
Dalam satu video yang kini tular di TikTok, kelihatan kuah kari ayam berkocak sendiri di dalam periuk walaupun api dapur dan kipas telah dimatikan. Menurut Amry, kejadian itu hanyalah satu daripada beberapa gangguan aneh yang berlaku sejak tahun lalu.
“Pekerja saya juga pernah nampak kelibat dan benda hitam melintas. Ada yang balik rumah terus sakit badan. Saya sendiri pernah minta ayam dari ‘pekerja’, tapi bila toleh, tak ada sesiapa pun di belakang,” katanya.
Amry, yang telah berkecimpung dalam perniagaan makanan sejak 2014, meluahkan rasa kecewa apabila usaha selama lebih 10 tahun terpaksa dihentikan.
“Saya dah cuba ikhtiar, jumpa ustaz, tapi bisnes makin perlahan. Saya tak nak hutang bertimbun. Jadi, saya ambil keputusan untuk tutup kedai sepenuhnya pada 27 Julai ini,” jelasnya.
Restoran Nasi Rozail dikenali dengan menu signatur nasi kandar Kedah serta nasi lemak dan nasi ayam. Namun, sejak gangguan berlaku, pelanggan mula berkurangan dan perniagaan tidak stabil.
Walau pahit, Amry tetap positif. Kini bekerja sambilan sebagai pemandu Grab, dia merancang comeback berskala kecil bermula Ogos ini secara perniagaan dari rumah dan penghantaran makanan (delivery).
“Saya akan mulakan semula secara kecil-kecilan. Nak teruskan hidup, survive. Enam pekerja pun saya dah maklumkan awal,” tambahnya.
Perkongsian itu mengundang simpati dan sokongan ramai warganet yang turut mendoakan kejayaannya bangkit semula.
Post a Comment