Remaja Trauma Belajar Memandu

 

Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun meluahkan rasa kecewa dan trauma selepas pengalaman pahit ketika mengikuti kelas memandu baru-baru ini. Lebih memilukan, dia mendakwa dipaksa memandu kereta jenis manual walaupun langsung tiada pengalaman sebelum ini.


Dalam perkongsian di media sosial, gadis itu menyangka jurulatih wanita akan lebih memahami keadaannya. Namun sebaliknya berlaku apabila dia dimaki hamun dengan kata-kata kesat termasuk digelar “bodoh” dan “babi”.

 

“Saya ni pertama kali pegang stereng, tolonglah ajar elok-elok. Tapi cikgu tu langsung tak mengajar… siap duduk di sebelah tengok TikTok live kuat-kuat,” luahnya.


Lebih mengejutkan, jurulatih tersebut didakwa tidak memberi tunjuk ajar langsung, sebaliknya menyuruh pelajar merujuk sendiri nota pemanduan.


Selain itu, pelajar lain turut membatalkan sesi dengan jurulatih berkenaan sehingga jadual latihan gadis itu terpaksa dianjak. Bila ditanya tentang perubahan jadual, jawapan cikgu tersebut mengejutkan.

 

“Saya tanya kenapa kelas saya dianjakkan, dia cakap ‘entahlah, p*****k tu dah mati ke apa’. Sampai hati panggil anak murid macam tu,” katanya terkilan.


Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang mengecam sikap biadab dan tidak profesional jurulatih tersebut, selain menyeru mangsa membuat aduan rasmi kepada pihak institut memandu atau JPJ.

 

“Bayar mahal-mahal, tapi kena maki pula. Patutnya cikgu sabar dan bimbing, bukan sumpah seranah macam samseng,” komen seorang netizen.

“Dulu saya pun kena, tapi terus tukar cikgu. Jangan takut, buat laporan,” kata seorang lagi pengguna.


Insiden seperti ini mencetuskan perbincangan hangat tentang keperluan pemantauan lebih ketat terhadap etika pengajar memandu, agar tidak ada lagi pelajar yang trauma atau hilang keyakinan hanya kerana sikap tidak bertanggungjawab segelintir jurulatih.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post