Pelajar 14 Tahun Jadi Mangsa Sindiket Penipuan Kerja

 

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dari Ipoh menjadi mangsa sindiket penipuan kerja dalam talian yang memperdayanya melalui aplikasi Telegram, memaksa dia meminjam wang daripada Ah Long dan menghantar gambar bogel sebagai cagaran.


Penasihat Eksekutif Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata remaja itu pada mulanya tertarik dengan tawaran ganjaran wang mudah menerusi kumpulan Telegram.

 

“Mangsa bayar yuran RM30 dan menerima RM60 selepas dua tugasan pertama. Namun, tugasan ketiga gagal atas alasan teknikal dan dia diminta bayar RM1,000 untuk buka semula ganjaran,” katanya dalam sidang media di Wisma MCA.


Memandangkan tidak mampu membayar, mangsa nekad meminjam RM1,000 daripada Ah Long dalam talian, yang kemudiannya meminta gambar bogel sebagai syarat pinjaman.


Situasi menjadi lebih parah apabila keluarga mangsa membayar RM1,500 bagi menyelesaikan hutang, tetapi sindiket kembali menuntut RM15,000 lagi serta mengugut untuk menyebarkan gambar bogel tersebut.


Michael Chong percaya sindiket kerja palsu dan Ah Long tersebut mungkin dari jaringan yang sama kerana modus operandinya saling berkait.


Keluarga mangsa telah membuat laporan polis di Perak dan beliau mendesak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Unit Siasatan Jenayah Seksual D11 PDRM menyiasat secara menyeluruh.


Timbalan Setiausaha Agong Wanita MCA, Ivone Low, berkata kes ini harus menjadi iktibar kepada ibu bapa dan masyarakat.

 

“Mangsa masih di bawah umur. Dia bukan sahaja tertipu, malah diperas ugut secara seksual. PDRM perlu menyiasat kes ini dari sudut eksploitasi kanak-kanak dan jenayah seksual,” tegasnya.


Dalam sidang media sama, dua lagi mangsa pinjaman tidak berlesen tampil:

  • Editor wanita berusia 24 tahun dari Selangor ditipu RM18,100 setelah percaya dia akan menang loteri Singapura dengan bantuan seorang "master" dari Chiang Mai.
  • Peniaga wanita berusia 63 tahun dari Subang Jaya pula membuat laporan polis selepas kedainya diugut mahu dibakar jika gagal membayar baki pinjaman RM15,000 daripada Ah Long.


Michael menggesa semua mangsa pinjaman tidak berlesen agar tampil membuat laporan polis dan mendapatkan bantuan rasmi, bukan berdiam diri atau cuba menyelesaikan secara peribadi yang boleh membahayakan keselamatan.

 

“Lebih cepat anda lapor, lebih tinggi peluang untuk pihak berkuasa bertindak,” katanya.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post