PETALING JAYA, 12 Julai – Penyanyi Syasya Rizal tampil menjelaskan bahawa beliau tidak menjamah daging babi seperti yang didakwa segelintir netizen selepas satu video percutiannya di China tular baru-baru ini.
Syasya, atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, berkata kekeliruan tersebut timbul ketika beliau sedang mengunyah makanan lain, dan bukannya yang mengandungi unsur haram.
“Waktu itu dalam mulut saya tengah kunyah benda lain, bukan pun yang ada unsur haram. Sebab itu saya tanya (tentang kandungan makanan), saya benar-benar tak tahu,” katanya di Instagram.
Mengulas lanjut, bekas anggota kumpulan Dolla itu berkata ini merupakan kali pertama dia berhadapan situasi sebegitu ketika melancong, dan sama sekali tidak bermaksud untuk memakan makanan haram.
“Bukan sebab saya biasa dan bangga makan makanan haram. Nauzubillah, moga Allah jauhkan kita semua dari fitnah dan dari memfitnah,” ujarnya.
Syasya berkata video yang dimuat naik bukan bertujuan untuk mencetuskan kontroversi, sebaliknya sebagai peringatan kepada diri dan peminat yang turut belajar tentang hal-hal halal haram sewaktu di luar negara.
“Kadang kita lupa, lain negara lain caranya. Saya masih dalam proses belajar,” katanya.
Syasya turut meluahkan rasa syukur kerana mempunyai suami, Nasrullah Mohd. Sapie, yang sentiasa menasihati dan membimbingnya tentang soal agama.
“Islam itu agama yang penuh kasih, bukan cacian. Agama yang lembut, bukan menghukum. Yang peluk kita bila kita sesat jalan, bukan tolak kita lebih jauh.”
“Mari kita sentiasa pilih untuk beringat dengan kasih sayang. Bukan dengan maki, bukan dengan murtadkan orang lain waktu dia tersungkur,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Syasya dikatakan secara tidak sengaja termakan daging babi ketika menjamu selera di sebuah restoran di China. Isu itu timbul selepas video memaparkan beliau sedang makan tular dan menimbulkan kecaman.
Insiden itu hanya disedari selepas suaminya bertanyakan kepada petugas restoran mengenai makanan halal, dan mereka diberitahu bahawa hidangan yang dimakan mungkin tidak sesuai untuk Muslim.
Post a Comment