Jakim Siasat Program Kewanitaan Disyaki Unsur Tidak Bermoral

 

PUTRAJAYA, 12 Julai – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan wujudnya sebuah program kewanitaan yang dikatakan menyelitkan unsur tidak bermoral dan bertentangan dengan ajaran Islam.


Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, memaklumkan bahawa pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama negeri Selangor dalam menyiasat penganjuran program berkenaan yang dikatakan berlangsung di Shah Alam dari 27 hingga 30 September 2024.

 

“Langkah ini diambil bagi memastikan maklumat yang diterima adalah sahih dan berasas sebelum sebarang tindakan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sirajuddin turut menegaskan bahawa kerajaan melalui Jakim secara konsisten mengambil langkah tegas bersama jabatan agama negeri dalam memelihara keharmonian institusi kekeluargaan dan akhlak masyarakat Islam.

 

“Usaha bersepadu ini juga adalah sebahagian daripada komitmen menangkis gejala menyimpang dan pengaruh budaya songsang dalam masyarakat,” ujarnya.


Jakim turut menyeru umat Islam agar tidak terpengaruh dengan gaya hidup yang bertentangan dengan nilai agama dan budaya tempatan.


Orang ramai yang mempunyai maklumat sahih berkaitan program berkenaan diminta tampil dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa agama bagi membantu siasatan.


Siasatan susulan ini dibuat selepas laporan mStar yang memetik pendedahan pengguna Facebook mendakwa wujudnya acara tertutup khusus wanita dengan aktiviti keterlaluan termasuk:

  • Peserta berbikini dan berbogel sepenuhnya.
  • Ciuman sesama wanita dalam keadaan tanpa pakaian.
  • Dikatakan dipimpin oleh seorang individu tertentu yang turut dinamakan dalam hantaran.


Walaupun acara tersebut didakwa hanya dihadiri wanita, kandungan dan aktiviti yang dijalankan dikatakan melanggar nilai-nilai Islam serta norma masyarakat tempatan.


Sirajuddin memberi jaminan bahawa sebarang pelanggaran terhadap hukum syarak atau undang-undang akan dikenakan tindakan sewajarnya setelah siasatan lengkap dijalankan.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post