Pelajar Tingkatan Tiga Jatuh Dari Asrama

 

SUNGAI BULOH 27 OGOS – “Kalau sesiapa yang nampak kejadian (terjatuh) itu, tolong cakap benar dan tampil beri keterangan kepada pihak berkuasa untuk memudahkan urusan. Kami bukan nak cari salah tetapi nak cari penyelesaian supaya lebih telus.”


Demikian rayuan Muhammad Aidil Mansor, 34, bapa saudara kepada Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, 15, yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam, semalam.


Ahmad Irfan, pelajar Tingkatan Tiga, selamat menjalani pembedahan pada hari kejadian dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh. Menurut Muhammad Aidil, keluarga terkejut dengan insiden itu kerana Ahmad Irfan dikenal sebagai seorang yang lemah lembut dan sentiasa membantu orang.


“Kami harap kejadian ini disiasat dengan telus dan adil, itu sahaja. Andai kesilapan itu di pihak anak saudara saya, kami akur tetapi kalau sebaliknya, biarlah diadili dengan sebaiknya. Kami percaya kepada qada dan qadar Allah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin, meluangkan kira-kira setengah jam melawat keluarga mangsa di Hospital Sungai Buloh. Beliau memaklumkan keadaan Ahmad Irfan kini stabil, namun masih memerlukan pemantauan rapi selepas pembedahan.


Muhammad Aidil turut menghormati keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengambil serius insiden berkenaan dan berharap ia menjadi titik perubahan untuk meningkatkan keselamatan murid di asrama.


Sementara itu, polis semalam mengesahkan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan kejadian tersebut. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan bagi memastikan keadilan ditegakkan.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post