Pesara Maut Rempuh Lori Berhenti di Jambatan Sultan Mahmud

 

KUALA TERENGGANU 28 OGOS – Seorang pesara awam maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kiri akibat tayar pecah di Jambatan Sultan Mahmud, di sini, hari ini.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan itu pada jam 11.21 pagi, membabitkan motosikal Yamaha 135 LC yang ditunggang Mohd Riduan Saidi, 60.


Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Kampung Bukit Tunggal menuju ke Bandar Kuala Terengganu, manakala lori dari arah Gong Badak ke Batu Buruk. “Setiba di lokasi dua lorong sehala, motosikal yang bergerak di lorong kiri merempuh lori yang berhenti kerana tayar kiri bahagian hadapan kenderaan berat berkenaan pecah,” katanya.


Akibat pelanggaran tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak cedera. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi jarak selamat dan berhati-hati apabila melalui kawasan kemalangan atau kenderaan berhenti di lebuh raya dan jambatan.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post