JOHOR BAHRU 28 OGOS – Sebuah restoran makanan laut di Masai, Senibong Bay Seafood, memohon maaf dan sedang mencari seorang pelanggan dikenali sebagai Nina selepas berlaku kesilapan caj hampir RM3,000 bagi hidangan ikan minggu lalu.
Dalam hantaran di Facebook, pihak restoran memaklumkan insiden pada Khamis, 21 Ogos, ketika pelanggan bersama keluarganya duduk di Meja 51. “Disebabkan kesilapan ketika mengira, ikan seberat 1.25kg tersalah caj sebagai 12.5kg, sekali gus menyebabkan jumlah bil melambung tinggi,” jelas kenyataan itu.
Restoran turut memaklumkan pelanggan berkenaan telah membayar penuh sebelum kesilapan disedari. “Kami akui kesalahan ini sepenuhnya. Semakan dalaman telah dibuat bagi memastikan perkara sama tidak berulang,” katanya.
Senibong Bay Seafood menegaskan komitmen mereka terhadap integriti: “Kepercayaan pelanggan lebih penting daripada segalanya. Bila berlaku kesilapan, kita mesti mengaku dan membetulkannya.”
Dalam hantaran sama, restoran berkongsi foto resit yang menunjukkan caj RM2,975 bagi hidangan ikan kerapu merah stim gaya Kantonis, selain tangkap layar ulasan lima bintang yang dipercayai ditinggalkan pelanggan berkenaan di Google.
Post a Comment