Bekas Pelajar KV Lahad Datu Dipenjara Seumur Hidup, 12 Sebatan

 

TAWAU 28 OGOS – Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan terhadap seorang bekas pelajar Kolej Vokasional (KV) Lahad Datu selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.


Hakim Datuk Duncan Sikodol ketika menetapkan hukuman berkata, walaupun pihak pendakwaan memohon hukuman mati, mahkamah berpendapat tertuduhyang kini berusia 20 tahun wajar diberi peluang untuk berubah dan membina semula kehidupan. Namun, beliau menegaskan usia muda sahaja tidak memadai untuk meringankan hukuman memandangkan keseriusan jenayah yang dilakukan.


“Tertuduh (pesalah muda) berusia 19 tahun ketika kesalahan dilakukan bersama 12 yang lain dan disabitkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 atas kesalahan membunuh rakan asrama,” katanya.


Dalam prosiding sama, mahkamah memerintahkan 12 tertuduh lain yang masih di bawah umur ditahan di penjara selama diperkenankan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, selaras Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.


Hakim turut menegaskan budaya buli di sekolah bukan perkara baharu tetapi kini “sudah sampai ke tahap meragut nyawa,” sambil menyifatkan kes ini sebagai contoh dan peringatan bahawa perbuatan tersebut memusnahkan kehidupan, meragut masa depan anak-anak dan menghancurkan harapan ibu bapa.


“Ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan harapan masa depan cerah, tetapi ada yang pulang dalam keadaan trauma, malah ada yang tidak kembali sama sekali,” ujar beliau.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post