KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2025 – Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia, syarikat produksi SOL Pictures Sdn Bhd bersama pengedar Empire Film Solution, dengan kerjasama TGV Cinemas, akan menayangkan semula filem Gayong mulai 28 Ogos hingga 17 September 2025 di pawagam TGV seluruh negara.
Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip, berkata tayangan semula kali ini menawarkan versi berbeza dengan beberapa pembaharuan, termasuk elemen director’s cut dan pilihan suntingan yang disyorkan pengkritik filem. “Kami turut menambah klip eksklusif babak Gayong 2 yang dijadualkan ke pawagam tahun hadapan,” katanya.
Lebih menarik, harga tiket ditetapkan RM10 bagi memudahkan orang ramai menonton di pawagam. Menurut Khairul, inisiatif ini bertujuan menyemarakkan semangat kemerdekaan melalui sebuah karya yang mengangkat jati diri, perpaduan dan perjuangan maruah bangsa. “Ketika tayangan terdahulu, Gayong menerima sambutan menggalakkan, tetapi ramai juga yang terlepas. Tayangan semula ini membuka peluang kepada mereka untuk menonton di layar lebar,” ujarnya.
Selain pembelian tiket secara dalam talian dan walk-in, tempahan berkumpulan boleh dibuat menerusi platform media sosial rasmi @filemgayongrasmi.
Untuk rekod, Gayong arahan Faisal Ishak diinspirasikan daripada kisah Pengasas Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman. Filem yang mula ditayangkan pada 5 Mei 2025 itu dibintangi Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip dan Yayan Ruhian.
Post a Comment