Aiman Jalani Ujian Air Kencing, Nafikan Di Bawah Pengaruh Dadah

 

SHAH ALAM, 22 Mei 2025 – Pempengaruh dan suami kepada Siti Jamumall, Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, tampil menjalani ujian saringan air kencing bagi membuktikan dirinya bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah susulan dakwaan yang timbul selepas melafazkan talak secara langsung di media sosial pada 15 Mei lalu.


Menurut Aiman, ujian dijalankan pada 16 Mei secara sukarela di sebuah klinik swasta, membabitkan lima jenis saringan dadah, dan kesemuanya disahkan negatif.

“Saya sedar pelbagai persepsi timbul selepas siaran langsung itu. Saya ambil tindakan ini untuk mempertahankan diri dan membersihkan nama saya,” katanya.


Aiman mengakui berdepan tekanan ketika insiden berlaku, apatah lagi apabila siaran langsung tidak dihentikan meskipun beliau berharap ahli keluarga isterinya mengambil langkah berkenaan.

“Saya harap abang sulung Siti yang berada di rumah ketika itu boleh bantu hentikan siaran, tetapi itu tidak berlaku. Tekanan makin memuncak bila jumlah tontonan semakin tinggi,” jelasnya.


Sementara itu, peguam Aiman, Mohd Noor Aizan Md Idros, menegaskan bahawa tiada elemen pengaruh dadah atau ketidakwarasan dalam kes berkenaan.

“Lafaz cerai dibuat dalam keadaan waras dan ia adalah situasi rumah tangga biasa yang berlaku dalam tekanan, apatah lagi ia dilakukan secara langsung di media sosial,” katanya.


Dalam kejadian pada 15 Mei lalu, Aiman melafazkan talak terhadap Siti dalam siaran langsung yang disaksikan lebih 25,000 penonton. Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan 21 Julai 2025 sebagai tarikh sebutan pertama kes tersebut.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post