Aiman Nafi Lafaz Talak Gimik Pemasaran


 

SHAH ALAM, 22 Mei 2025 – Pempengaruh media sosial, Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, menegaskan bahawa lafaz talak terhadap isterinya, Siti Jamumall, yang dibuat secara langsung di media sosial bukanlah satu gimik atau strategi pemasaran seperti yang didakwa segelintir pihak.


Menurut Aiman, dia berada dalam keadaan letih dan tertekan pada malam kejadian dan tidak menjangka insiden itu akan berlaku.

“Saya sendiri bertanya kepada Siti sama ada ini untuk pemasaran, kerana saya tidak tahu. Tapi saya boleh sahkan dari pihak saya, ini bukan gimik. Soal sama ada saya dijadikan bahan pemasaran, saya tak pasti. Hanya dia tahu niat sebenar,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini.


Menjawab persoalan berkenaan reaksi keluarga terhadap insiden tersebut yang tular dan disaksikan lebih 25,000 penonton, Aiman berkata keluarganya bersikap neutral dan enggan memihak.

“Ibu dan seluruh keluarga saya menyatakan perkara yang sama, ini keputusan saya. Mereka tidak menyebelahi sesiapa, malah tidak mengeluarkan kenyataan. Mereka hanya mahu perkara ini diselesaikan secara damai dan matang,” katanya lagi.


Dalam kejadian 15 Mei lalu, Aiman melafazkan talak terhadap Siti dalam siaran langsung yang mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk dakwaan ia dilakukan sebagai publisiti murahan.


Sementara itu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan 21 Julai 2025 sebagai tarikh sebutan pertama kes berkenaan.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post