Warga Emas Maut Terjatuh Dalam Perigi

 

PASIR MAS, 22 Mei 2025 – Seorang wanita warga emas maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam perigi di belakang sebuah rumah di Kampung Lumpur, Alor Pasir, tengah hari tadi.


Mangsa, Hasmah Husin, 79, ditemui dalam perigi oleh orang awam yang kemudian bertindak mengeluarkannya sebelum menghubungi pihak bomba.


Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Mohd. Zain Abu Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.35 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama enam anggota.

“Sebuah jentera dari BBP Wakaf Bharu dan satu lagi dari BBP Pasir Mas dikerahkan ke tempat kejadian. Bagaimanapun, sebaik tiba, mangsa telah pun dikeluarkan oleh orang awam,” katanya ketika dihubungi.


Tambah beliau, pemeriksaan lanjut oleh pihak kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.30 tengah hari,” katanya lagi.


Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan, dan jenazah telah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post