Mualaf Mengandung Luah Kecewa Masuk Islam

 

PETALING JAYA, 22 Mei 2025 – Tular sebuah video menyayat hati di TikTok memaparkan luahan seorang wanita mualaf yang mendakwa mahu meninggalkan Islam akibat tekanan hidup, selepas ditinggalkan suami ketika sedang hamil.


Wanita tersebut, yang memuat naik pengakuannya di akaun TikTok bernama @bossariffpeter, menyatakan bahawa dia mula mempertimbangkan untuk kembali kepada agama asalnya selepas gagal mendapatkan bantuan daripada beberapa institusi Islam, termasuk pihak masjid dan agensi zakat.

"Saya masuk Islam untuk kahwin. Suami saya janji akan jaga saya. Tapi bila saya mengandung, dia ada perempuan lain dan tinggalkan saya. Saya trauma dengan lelaki Melayu," katanya dalam video itu.


Tambah wanita berkenaan, dia berusaha meminta bantuan daripada pihak masjid, namun mendakwa dihalau kerana disangka penipu.

"Saya tidak ada duit dan saya mengandung. Saya pergi masjid, mereka tuduh saya scammer. Zakat pula kata saya perlu ada suami untuk mohon bantuan – tapi suami saya sudah tinggalkan saya," luahnya dalam keadaan sebak.


Disebabkan kesempitan hidup yang dialami, wanita itu mengakui terpaksa mencari bantuan di gereja yang menurutnya lebih sudi membantu.

"Saya tiada pilihan. Bila saya pergi gereja, mereka bantu saya. Mereka sediakan keperluan hidup saya," ujarnya.


Video berkenaan mengundang pelbagai reaksi di media sosial. Ada yang menyatakan simpati dan mendesak agar institusi zakat dan masjid lebih peka terhadap kes-kes seperti ini, khususnya melibatkan golongan mualaf yang berisiko terpinggir.


Dalam masa sama, ada yang meminta supaya dakwaan wanita itu disiasat dengan adil dan menyeluruh bagi mengelakkan generalisasi terhadap institusi Islam secara keseluruhan.


Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri atau jabatan zakat berkenaan insiden ini.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post