Bekas Ketua Kerani IPK KL Mengaku Bersalah Guna Dokumen Palsu Lebih RM63,000

 

KUALA LUMPUR, 22 Mei 2025 – Seorang bekas ketua kerani kewangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 22 pertuduhan menggunakan dokumen palsu melibatkan resit rasmi Kerajaan Malaysia bernilai RM63,923.20.


Tertuduh, Mizatul Hafiza Mohamad, 41, yang kini bertugas sebagai penolong pegawai pentadbiran di sebuah jabatan agama, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.


Menurut pertuduhan, Mizatul Hafiza didakwa telah menggunakan resit rasmi kerajaan yang palsu, antaranya atas nama Kuarters Balai Polis Sri Hartamas, Shabak Enterprise, dan Persatuan Penduduk Perumahan Polis, sebagai dokumen tulen bagi tujuan rasmi. Kesemua kesalahan tersebut dilakukan semasa beliau masih berkhidmat di IPK Kuala Lumpur.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Mahkamah menetapkan tarikh sebutan dan hukuman pada 10 Jun 2025, sementara menunggu laporan impak sosial dan cadangan hukuman daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhana Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post