Saya Tidak Boleh Halang Rafizi - Anwar Ibrahim


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi bayangan bahawa beliau tidak akan memujuk Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, sekiranya pemimpin itu memilih untuk meletak jawatan daripada Kabinet selepas pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketika ditanya mengenai kenyataan Rafizi yang berhasrat melepaskan jawatan menteri sekiranya tewas dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR pada 24 Mei ini, Anwar berkata beliau menghormati pendirian tersebut.

“Saya tidak tahu, tapi kita tidak boleh halang orang punya cita-cita. Kalau tanya saya, tiada rencana sama sekali untuk buat apa-apa pun rombakan (Kabinet),” ujar beliau ketika ditemui selepas sesi Taklimat Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, hari ini.

 

Anwar turut menegaskan bahawa tiada perubahan dalam barisan Jemaah Menteri akan dilakukan hanya berdasarkan keputusan pemilihan parti.

“(Pemilihan parti) ini pertandingan di antara sahabat karib dan kawan-kawan setia. Tidak timbul sama sekali perubahan Jemaah Menteri,” tambah beliau.

 

Sebelum ini, Rafizi beberapa kali menyatakan bahawa beliau akan meletak jawatan dalam Kabinet jika gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR, sebagai tanda menghormati mandat akar umbi. Namun, beliau menegaskan akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen Pandan, sekiranya tidak lagi berada dalam Jemaah Menteri.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post