PUTRAJAYA, 22 Mei 2025 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merakam keterangan Datuk Jovian Mandagie, bekas menantu kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi membantu siasatan berhubung pengisytiharan harta oleh bekas Perdana Menteri Kesembilan itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa keterangan Jovian akan dirakam dalam tempoh dua minggu akan datang, memandangkan beliau kini menetap di Indonesia.
“Ada seorang saksi yang dinamakan oleh beliau, sekarang berada di Indonesia, iaitu bekas menantu beliau dengan nama dipanggil Jovian yang perlu kita rakam percakapan. Pegawai penyiasat saya sedang berhubung dengan beliau untuk tujuan itu,” kata Azam dalam satu sidang media di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri sebelum ini telah beberapa kali hadir ke Ibu Pejabat SPRM berkaitan siasatan melibatkan kes rasuah dan pengubahan wang haram, khususnya mengenai perbelanjaan dan dana promosi Program Keluarga Malaysia semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Menurut Azam, siasatan ini adalah susulan kepada arahan pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36(1), Akta SPRM 2009. Ismail Sabri telah membuat pengisytiharan tersebut pada 10 Februari 2025, dan SPRM kini sedang menganalisis sumber perolehan aset yang diisytiharkan.
“Sumber pendapatan beliau sangat pelbagai, memandangkan beliau pernah berkhidmat dalam sektor swasta dan mempunyai beberapa syarikat semasa tidak menjawat jawatan dalam pentadbiran. Jadi, kami perlu meneliti semua sumber itu secara adil,” tambah beliau.
Setakat ini, seramai 57 individu telah dirakamkan keterangan bagi membantu siasatan, dan proses tersebut dijangka selesai menjelang penghujung bulan depan.
“Kemungkinan beliau (Ismail Sabri) akan dipanggil semula masih bergantung kepada analisis lanjut kami, tetapi kemungkinan itu kecil,” ujar Azam.
Post a Comment