Kemalangan Ngeri Rupanya Tak Pernah Berlaku


 

Pengalaman selama lapan tahun sebagai pelukis inai membawa Ziera ke pelbagai pelosok negeri, khususnya di kawasan pedalaman Perak. Namun, satu kejadian pada lewat malam di Gopeng telah meninggalkan kesan trauma mendalam apabila dia mendakwa menyaksikan kemalangan ngeri yang rupa-rupanya tidak pernah berlaku.


Insiden tersebut berlaku ketika Ziera dalam perjalanan pulang selepas menyiapkan inai untuk pengantin perempuan di sebuah perkampungan pedalaman.

“Lebih kurang pukul 11 malam, saya mula bergerak pulang. Tiba-tiba terdengar bunyi enjin kuat seperti kereta sedang berlumba. Beberapa buah kenderaan memecut laju dan saya nampak sendiri kemalangan berlaku, kereta terbalik, serpihan merata-rata, asap tebal," katanya 


Menurut Ziera, dia menggigil teruk dan hampir tidak dapat menghubungi sesiapa akibat panik. Ketika cuba menelefon suaminya, seorang lelaki tua yang menunggang motosikal tiba-tiba muncul dan mengetuk cermin keretanya.

“Saya tanya pakcik tu, ‘Dah call ambulans ke?’ tapi dia jawab, ‘Adik sakit ke? Kenapa berhenti tepi jalan gelap-gelap ni?’” kata Ziera.


Apabila dia menoleh ke belakang, semua kesan kemalangan yang dilihat sebentar tadi hilang begitu sahaja tiada asap, tiada kenderaan, dan tiada serpihan.


Selepas diselamatkan oleh pakcik tersebut dan diiringi keluar dari kawasan kampung hingga ke lebuh raya, Ziera selamat tiba di rumah sekitar jam 1 pagi. Namun, satu lagi perkara mengejutkan berlaku.

“Saya kata pada suami saya baru lepas kemalangan. Dia terkejut. Tapi bila semak log panggilan, tiada rekod saya menghubungi sesiapa sejak jam 7.45 malam. Siapa yang saya cakap tadi pun saya tak tahu,” tambahnya.


Ziera kini mengakui mengalami trauma yang mendalam, dan sejak kejadian itu, beliau tidak lagi mengambil tempahan inai di kawasan pedalaman atau pada waktu malam.


Perkongsiannya mendapat perhatian ramai di media sosial, dengan rata-rata netizen menyuarakan rasa simpati dan menyarankan beliau berehat serta mendapatkan rawatan spiritual jika perlu.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post