Kehilangan insan tersayang sememangnya satu dugaan berat, apatah lagi apabila individu yang pergi itu merupakan figura penting dalam hidup seperti seorang bapa.
Seorang wanita meluahkan perasaannya di media sosial selepas kehilangan bapanya, mengakui dirinya berada dalam keadaan emosi yang sangat rapuh dan tidak mendapat sokongan sewajarnya daripada teman lelaki.
“Semenjak bapa aku meninggal, aku jadi tawar hati dengan teman lelaki. Rasa tak nak kahwin dah. Aku hilang diri aku sendiri,” tulis wanita itu.
Menerusi beberapa tangkap layar mesej WhatsApp yang turut dikongsi, wanita berkenaan meluahkan kemarahannya terhadap teman lelakinya yang dikatakan tidak menunjukkan empati.
“Kau tak pernah ada waktu aku susah. Aku hilang bapa kot… bapa aku sendiri. Kau tak faham sebab kau tak kena,” tulisnya dalam salah satu mesej.
Beliau turut mempersoalkan tindakan teman lelakinya yang dilihat lebih mementingkan diri sendiri ketika dia sedang bersedih.
“Lepas tu sibuk hantar selfie la, puji diri sendiri handsome… buat lawak bodoh. Kau ingat aku ada masa nak fikir pasal kau? Bapa aku mati dah.”
Wanita itu juga menyatakan keputusannya untuk memutuskan hubungan, menyifatkan tiada lagi keperluan untuk berkahwin selepas pemergian bapanya yang sebelum ini menjadi pendukung utama.
“Sejak awal dia sakit aku ajak kau kahwin. Tapi kau lambat-lambatkan. Ni bapa aku dah takda, nak kahwin buat apa lagi. Tak payah kahwin, putus.”
Perkongsian itu meraih perhatian warga maya, dengan reaksi bercampur. Ada yang menyokong tindakan wanita itu yang sedang berdepan kesedihan mendalam, namun ada juga yang berpendapat lelaki berkenaan sebenarnya cuba menghiburkan teman wanitanya dengan cara tersendiri.
“Dia cuba nak gembirakan kau dengan buat lawak bodoh tapi kau marah,” kata seorang netizen.
“Dia selfie ja kot. Faham tengah sedih tapi jangan la maki dia macam tu,” tambah yang lain.
Pakar psikologi menyarankan agar pasangan yang berdepan kehilangan atau duka perlu diberi ruang dan sokongan emosi tanpa tekanan. Dalam masa sama, komunikasi yang jujur dan empatik sangat penting agar hubungan tidak berakhir kerana salah faham ketika emosi sedang tidak stabil.
Post a Comment