Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan rasmi di akaun Facebook beliau, yang turut mengesahkan surat peletakan jawatan telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya sedar bahawa kedudukan saya sebagai Naib Presiden KEADILAN dahulu adalah antara pertimbangan utama pelantikan saya ke dalam Kabinet.Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri,” tulisnya.
Nik Nazmi, yang mula memegang portfolio berkaitan alam sekitar sejak Disember 2022, berkata beliau berbangga dengan pelbagai pencapaian sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam dua kementerian – pertama sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, kemudian sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Antara pencapaian utama yang diketengahkan termasuk:
- Pindaan Fasa 1 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974
- Peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA)
- Malaysia menjadi antara negara terawal mengemukakan Pelan Tindakan Biodiversiti Kebangsaan (NBSAP)
- Pengurangan kadar penyahutanan yang diiktiraf oleh Setiausaha Agung PBB, António Guterres
- Pelaksanaan semula subsidi elektrik bersasar melalui ICPT
- Kelulusan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga di Parlimen
- Memulakan proses Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN)
Nik Nazmi menyatakan bahawa beliau kini bersedia memberi sepenuh tumpuan terhadap tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa, serta memperkukuh khidmat awam di kawasan itu.
“Saya menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan saya di Setiawangsa,” katanya sambil memetik kata-kata mendiang Ahli Parlimen Britain, Tony Benn, bahawa beliau “meninggalkan Kabinet untuk memberi lebih masa kepada politik dan khidmat awam.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penjawat awam, pasukan kementerian, dan rakan kerjasama dalam sektor awam, swasta serta masyarakat sivil atas kerjasama serta kepercayaan sepanjang tempoh beliau menerajui kementerian.
Post a Comment