Taska Lokasi Kematian Bayi 7 Bulan Diiktiraf Sah

 

KUALA LUMPUR, 29 Mei 2025 – Taska di Taman Danau Kota yang menjadi lokasi insiden tragis melibatkan kematian seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan, Muammar Adli, kelmarin, disahkan beroperasi secara sah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, memaklumkan bahawa taska tersebut telah memperbaharui lesen pendaftarannya dengan JKM Kuala Lumpur pada 24 Januari lalu, dan sah sehingga 23 Januari 2030.

“Premis itu mempunyai kapasiti maksimum 51 kanak-kanak. Ketika proses semakan pendaftaran, terdapat seramai 36 kanak-kanak di taska itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Susulan kejadian tersebut, JKM telah menghubungi pihak polis untuk mendapatkan maklumat awal dan memberi jaminan akan menjalankan siasatan dalaman secara telus dan menyeluruh.

“JKM mengambil maklum insiden itu. Siasatan dalaman sedang dijalankan dan kami menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengumumkan hasil bedah siasat serta siasatan lanjut,” ujarnya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab, mengesahkan menerima laporan berkaitan insiden berkenaan daripada bapa mangsa pada jam 1.26 tengah hari, kelmarin.


Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku antara jam 9 pagi hingga 11 pagi.

“Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di taska sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 11.08 pagi,” katanya.


Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001, yang melibatkan kesalahan pengabaian, penganiayaan, pendedahan atau pencuaian terhadap kanak-kanak.


Kes ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga terhadap tahap keselamatan serta pemantauan taska berdaftar. Warganet turut menyeru agar prosedur pengawasan dan latihan penjaga taska diperketatkan untuk mengelakkan insiden seumpama ini berulang.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post