KUALA LUMPUR, 23 Mei 2025 - Seorang wanita mendakwa dikenakan tindakan oleh majikannya meskipun telah menyerahkan sijil cuti sakit (MC) yang sah daripada sebuah klinik kesihatan kerajaan di ibu negara.
Perkara itu tular selepas tangkap layar perbualan dipercayai antara wanita terbabit dan pihak majikan dikongsi di media sosial, menunjukkan majikan mempersoalkan tempoh cuti sakit selama tiga hari yang diberikan oleh doktor.
“Saya tak minta pun MC, doktor sendiri yang bagi,” jelas wanita itu dalam perbualan tersebut.
Menurutnya lagi, dia turut mengalami kemurungan dan gangguan kebimbangan (anxiety) dan telah menghantar bukti MC yang sah. Namun begitu, dia tetap menerima surat amaran dan gajinya dipotong.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya, yang rata-ratanya mempertikaikan tindakan pihak pengurusan sumber manusia (HR) kerana mengambil tindakan disiplin meskipun MC diperoleh secara sah daripada fasiliti kesihatan awam.
“MC klinik kerajaan bukan mudah nak dapat. Kalau dapat tiga hari, memang doktor sendiri yang tentukan tahap kesihatan pesakit,” kata seorang pengguna media sosial.
Ada juga yang menggesa wanita berkenaan supaya membuat aduan rasmi kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) atau mendapatkan khidmat guaman, memandangkan MC daripada klinik kerajaan merupakan dokumen rasmi yang diiktiraf undang-undang.
Beberapa individu turut berkongsi pengalaman mereka menerima layanan serupa daripada majikan.
“Saya alami pendarahan awal kehamilan, dapat MC 14 hari. Tapi HR minta hadir ke pejabat untuk bincang. Akhirnya saya hantar surat berhenti kerja,” ujar seorang wanita.
“Saya dipecat ketika sedang bercuti sakit. Sekarang kes sedang berjalan di Mahkamah Perusahaan,” luah seorang lagi pengguna.
Post a Comment