Suami kepada usahawan dan personaliti terkenal Rozita Ibrahim, Aidiamin Ahmad, memuji tahap kesihatan dan tenaga dalaman isterinya yang dikatakan tidak sepadan dengan usianya yang kini mencecah 61 tahun.
Dalam satu siaran langsung di TikTok, Aidiamin menyifatkan amalan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang yang diamalkan Rozita telah memberikan impak besar terhadap kesihatan fizikal dan mentalnya.
“Umur tidak penting, yang mustahak adalah kesihatan dalaman. Awak mampu berjoging dua jam, tenaga sangat baik,” katanya.
Tambahnya lagi, jika Rozita bukan isterinya, beliau berpendapat wanita itu layak mendapatkan pasangan yang juga menjaga kesihatan, tanpa mengira perbezaan umur.
“Kalau cari jodoh, awak tak sesuai dengan lelaki yang tak sihat — walaupun muda tapi tak sihat, tak guna juga,” ujarnya secara terbuka.
Kenyataan itu menarik perhatian ramai, khususnya para pengikut mereka di media sosial yang mengagumi tahap kecergasan dan keteguhan hubungan pasangan berkenaan.
Rozita, yang juga dikenali sebagai Bonda Rozita, sebelum ini mengejutkan peminat apabila mengesahkan telah bernikah dengan Aidiamin pada 16 Mac 2025. Pendedahan itu dibuat selepas tular satu video memaparkan kehadiran seorang lelaki berkumis di belakang Rozita ketika sesi promosi langsung produk di media sosial.
Pasangan tersebut kini aktif berkongsi kehidupan peribadi dan rutin harian di platform digital, termasuk tip kesihatan dan gaya hidup aktif yang diamalkan bersama.
Post a Comment