Seorang pemandu e-hailing berkongsi pengalaman misteri yang dialaminya hampir sedekad lalu, apabila mendakwa telah menumpangkan seorang penumpang wanita yang rupa-rupanya telah meninggal dunia.
Menerusi satu pendedahan dalam podcast, pemandu dikenali sebagai Iqbal menceritakan kejadian yang berlaku sekitar tahun 2016 itu bermula apabila dia menerima satu tempahan dari kawasan kampus pada jam 4.30 petang.
"Saya sangka penumpang sudah membatalkan tempahan kerana saya tiba lewat disebabkan kesesakan lalu lintas. Namun, seorang gadis cantik berdiri menunggu. Dia mengesahkan namanya Natalia, lalu menaiki kenderaan saya," katanya.
Menurut Iqbal, gadis berkenaan memakai pakaian hitam putih dan duduk di bahagian hadapan selepas meletakkan beg di tempat duduk belakang. Sepanjang perjalanan, Natalia hanya memberi respon ringkas sebelum tertidur dan hanya tersedar apabila hampir tiba di destinasi – sebuah kawasan perumahan mewah.
"Dia minta saya berhenti di belakang deretan kereta. Katanya mahu menziarahi kematian seketika dan meminta saya tunggu. Tambang akan dibayar lebih kemudian,” ujarnya.
Iqbal menunggu hampir lima jam, sebelum berasa curiga dan pergi ke rumah tersebut untuk bertanya. Di situlah misteri terbongkar.
"Seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai kakak Natalia menangis selepas saya serahkan beg yang ditinggalkan. Dia bawa saya masuk ke dalam rumah dan menunjukkan jenazah adiknya. Saya tergamam apabila mendapati ia adalah gadis yang saya bawa sebentar tadi,” kata Iqbal.
Menurut keluarga Natalia, gadis tersebut terlibat dalam kemalangan pada Sabtu sebelumnya dan disahkan meninggal dunia pada Selasa iaitu hari yang sama Iqbal mendakwa menumpangkannya.
“Beg milik Natalia hilang sejak hari kejadian dan tidak ditemui walaupun lokasi terakhir GPS adalah kawasan nahas. Aneh sekali, pihak polis juga mengesahkan satu tempahan e-hailing sememangnya telah dibuat dari telefon milik Natalia,” tambahnya.
Iqbal mengakui kejadian tersebut memberi kesan mendalam dan masih menghantuinya walaupun sudah hampir 10 tahun berlalu.
Post a Comment