Remaja Parah Ditikam Akibat Isu Hutang Lama di Melaka

 


MELAKA, 16 Mei – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun parah selepas ditikam oleh kenalannya dalam satu kejadian pergaduhan dipercayai berpunca daripada isu hutang lama di Jalan Sum 1, Kampung Paya Sum, Sungai Udang, pada awal pagi Jumaat lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi, mangsa mengalami satu kesan tikaman dan dikejarkan ke Zon Merah, Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata suspek berusia 23 tahun turut mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Zon Kuning hospital sama.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran antara kedua-dua lelaki yang saling mengenali, dipercayai akibat isu hutang lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Pada awalnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerima panggilan kecemasan 999 daripada seorang pengadu yang mendakwa rakannya ditikam oleh dua individu tidak dikenali yang menunggang sebuah motosikal.


Namun, hasil siasatan lanjut dan soal siasat ke atas mangsa membuktikan tiada unsur samun, sebaliknya kejadian itu adalah pergaduhan sesama sendiri antara mangsa dan suspek.


Bertindak atas maklumat yang diperoleh, sepasukan anggota polis dari Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Melaka Tengah bersama Cawangan D9 JSJ Kontinjen Melaka berjaya menahan suspek pada jam 6.15 petang hari sama di sebuah rumah di Taman Pahlawan, Sungai Udang.


Tambah Christopher, suspek yang berasal dari Batu Pahat, Johor, mengaku terlibat dalam kejadian tersebut.

“Semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan kesalahan judi, dan kini ditahan untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

 

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.


Pihak polis menggesa orang awam agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam sebarang pertikaian dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menguruskan sebarang bentuk pertelingkahan atau hutang yang melibatkan risiko keselamatan.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post