PETALING JAYA, 26 Mei 2025: Seorang wanita dikenali sebagai Kay Rashid bertindak tegas menegur seorang kanak-kanak lelaki yang menunjukkan isyarat lucah (jari tengah) semasa dia sedang bersenam di sebuah gim berhampiran kolam renang.
Insiden tersebut tular menerusi satu hantaran video di TikTok, di mana Kay menceritakan detik kejadian yang pada awalnya bermula apabila budak lelaki itu mengetuk-ngetuk cermin gim dari luar, mengganggu sesi senamannya.
“Saya memang dah geram. Lepas ketuk cermin, dia tunjuk jari tengah pula. Muka tak bersalah langsung,” katanya dalam video tersebut.
Tidak berdiam diri, Kay keluar dari gim dan terus menegur kanak-kanak terbabit di hadapan ibu dan beberapa wanita lain yang berada berhampiran kolam. Ibu kepada budak tersebut tidak menghalang tindakan Kay, malah membiarkannya menegur anaknya secara langsung.
“Saya kata, maaf kak, saya kena ajar anak akak. Kurang ajar sangat tunjuk jari tengah ni,” ujar Kay.
Kanak-kanak tersebut pada mulanya berkeras dan enggan mengaku salah, sebaliknya menyalahkan rakan-rakan. Namun, selepas didesak oleh Kay dan ibunya, dia akhirnya memohon maaf.
Kay turut memastikan permohonan maaf dibuat dengan ikhlas dan sopan, termasuk bersalam dan memandang wajah semasa memohon maaf.
Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang memuji tindakan Kay yang berani menegur dengan berhemah, serta sikap terbuka ibu kanak-kanak yang tidak mempertahankan kesalahan anaknya.
“Bagus mak budak tu. Tak bela anak. Budak sekarang memang kena ajar dari awal,” kata seorang pengguna.
“Hormati mak budak tu sebab tak marah orang lain tegur anak dia. Kalau semua mak macam tu, senang sikit nak bentuk akhlak budak-budak zaman sekarang,” tambah yang lain.
Post a Comment