JOHOR BAHRU, 14 Jun 2025 – Seorang wanita meluahkan rasa terkejut dan kecewa selepas mengetahui bapanya mahu menggunakan nama adiknya yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi untuk membuat pinjaman pembiayaan semula (refinance) rumah milik isteri keduanya.
Menurut perkongsian wanita itu di media sosial, bapanya yang kini menetap bersama isteri kedua mengusahakan sebuah kedai makan, namun menghadapi masalah kewangan berterusan sehingga kerap meminjam wang.
“Baru-baru ini ayah hubungi adik saya yang masih belajar, katanya nak guna nama adik untuk refinance rumah isteri kedua bagi dapatkan duit untuk kegunaan kedai makan,” tulisnya.
Tambahnya, bapanya pada awalnya cuba menggunakan nama anak hasil perkahwinan kedua, namun terhalang kerana syarat pinjaman bank memerlukan peminjam berusia sekurang-kurangnya 18 tahun.
“Ayah cakap, bila adik tiri dah umur 18 nanti, baru tukar nama. Tapi adik saya tak setuju dan ayah mula marah serta tawar hati dengan kami sebab tak nak bagi pinjam nama,” jelas wanita itu.
Situasi itu menyebabkan dia dan adik-beradiknya berada dalam dilema antara tanggungjawab membantu ayah dan risiko kemungkinan dibebani masalah kewangan yang lebih besar pada masa depan.
“Kami tinggal di Johor Bahru, mereka tinggal di negeri lain. Kami tak kenal siapa isteri kedua ayah. Lagipun, ayah dah lama tak tinggal bersama kami,” katanya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian netizen yang kebanyakannya menasihati agar tidak membenarkan nama sendiri digunakan untuk pinjaman pihak lain walaupun ahli keluarga sendiri.
- “Masalah kewangan sering berpunca daripada keluarga sendiri. Jangan buat pinjaman guna nama sendiri untuk orang lain.”
- “Biar bergaduh sekarang daripada bergaduh kemudian hari.”
- “Kedai makan tu pun dah bermasalah, jangan tambah risiko.”
Netizen juga mencadangkan agar urusan tersebut diselesaikan secara hitam putih jika masih mahu membantu, termasuk pertimbangan menjadikan rumah tersebut milik adik sendiri dengan syarat bayaran semula atau sewa tetap ditetapkan.
Post a Comment