SEREMBAN, 14 Jun 2025 – Seorang guru lelaki berusia 36 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Asyraf Ahmad, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, kesalahan didakwa berlaku pada 17 Mei lalu, antara jam 9 hingga 9.20 pagi, di dalam sebuah kereta di Kilometer 242.1 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara dalam daerah Rembau.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 berserta syarat tambahan, antaranya tertuduh perlu:
- Melaporkan diri di balai polis setiap bulan,
- Tidak mengganggu saksi dan mangsa,
- Menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon jumlah jaminan minimum atas alasan menanggung dua anak kecil, ibu bapa yang uzur, serta komitmen kewangan lain. Beliau juga memaklumkan kini ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tampin.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Julai depan.
Post a Comment