Bakal Suami Ajak Anak Saudara Tinggal Bersama Lepas Kahwin

 

Perasaan teruja menanti hari bahagia lazimnya menjadi lumrah bagi pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga. Namun berbeza bagi seorang wanita ini apabila dia berdepan dilema apabila tunangnya menyatakan hasrat untuk membawa anak saudara perempuan tinggal bersama selepas mereka berkahwin.


Menurut luahan wanita berusia lewat 20-an itu di media sosial, tunangnya memaklumkan bahawa anak saudaranya yang berusia 26 tahun itu akan tinggal bersama kerana bapanya, iaitu abang kepada tunang wanita berkenaan, bakal berpindah ke kampung.

“Dia kata anak buah tu tak biasa duduk sendiri dan dia nak jaga. Tapi saya rasa pelik, sebab mereka ni terlalu rapat... ke mana saja mesti berkepit,” tulisnya dalam satu perkongsian.


Wanita itu turut menyatakan rasa tidak selesa apabila anak saudara tunangnya sering hadir sewaktu panggilan video dibuat, malah turut ikut serta dalam urusan keluarga seperti pulang ke kampung dan membeli-belah.

“Masa video call pun ada. Ke pasar, jalan-jalan pun mesti ikut. Ada sesuatu yang tak kena,” tambahnya.


Apabila meluahkan rasa kurang senang, wanita itu mendakwa tunangnya mempertahankan tindakan tersebut atas dasar terhutang budi terhadap abangnya dan keluarganya.

“Dia kata masa datang bandar dulu sehelai sepinggang, abang dia yang tolong. Jadi dia rasa tanggungjawab untuk bantu jaga anak buah,” jelas wanita itu yang semakin ragu terhadap hubungan mereka.


Luahan tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen. Ramai menyatakan kebimbangan yang sama serta menggesa wanita itu untuk mempertimbangkan semula keputusan untuk meneruskan perkahwinan.

“Undur diri selagi boleh. Awak belum jadi isteri, tapi dia dah melebihkan anak saudara,” kata seorang pengguna.

“Benda boleh jadi konflik lepas kahwin. Rumah tangga bukan tempat menanggung tanggungjawab keluarga besar semata-mata,” ujar seorang lagi.


Tidak kurang juga yang menyentuh soal sensitiviti apabila hubungan rapat antara bapa saudara dan anak saudara perempuan yang dewasa dilihat keterlaluan.

“Anak saudara ke, kawan baik ke – kalau dah berkepit tak kena gaya, tetap nampak pelik. Dah besar panjang, patut tahu jaga batas,” tambah seorang netizen.


Isu sebegini mencerminkan pentingnya komunikasi jelas dalam perancangan rumah tangga. Pakar psikologi rumah tangga menasihatkan agar pasangan perlu menetapkan sempadan yang sihat dan realistik sebelum bernikah, terutama melibatkan pihak ketiga yang boleh menjejaskan kesejahteraan emosi dan privasi rumah tangga.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post