Guru Berdepan Tindakan Disiplin

 

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2025 – Seorang guru berkemungkinan berdepan tindakan disiplin selepas seorang ibu bapa membuat aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) berhubung tindakan guru tersebut yang memuat naik gambar beberapa murid yang tidak menyiapkan tugasan dalam kumpulan WhatsApp kelas.


Menurut perkongsian rakan sejawat guru terbabit di media sosial, tindakan itu dilakukan bukan untuk memalukan mana-mana pelajar, sebaliknya sebagai kaedah pantas untuk memaklumkan kepada ibu bapa berkenaan sikap anak mereka.

"Bukan niat nak aibkan. Tapi kelas tu ada 18 orang tak siap kerja, dan nak taip satu-satu nama memang makan masa. Gambar itu hanya dikongsi dalam WhatsApp ibu bapa sahaja," katanya.


Kelas terbabit turut dilaporkan mempunyai ramai murid lemah serta bermasalah dari segi sikap, menyebabkan kerja sekolah sering tidak disiapkan walaupun telah diberi masa dan peringatan.


Bagaimanapun, tindakan tersebut mengundang rasa kurang senang sebahagian ibu bapa yang menganggap ia menjatuhkan maruah anak mereka dan terus membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa melalui SisPAA.


Walaupun terdapat aduan, guru tersebut masih menerima sokongan moral daripada ramai ibu bapa lain yang memahami tujuan sebenar tindakan berkenaan.

“Ada ibu bapa yang bersetuju. Malah, ada yang berkata bagus ada bukti. Bila tanya anak, selalu jawab tiada kerja sekolah. Dengan gambar tu, barulah mereka percaya,” jelas guru itu lagi.


Malah, ada yang menyifatkan ‘rasa malu’ itu perlu ada dalam proses pembentukan disiplin pelajar.

“Sesekali anak-anak ni kena rasa malu. Barulah ada rasa takut nak buat salah lagi,” katanya.


Namun, guru tersebut turut meluahkan rasa sedih dengan tekanan yang semakin meningkat dalam profesion perguruan masa kini.

“Makin mencabar nak jadi cikgu sekarang. Silap sikit boleh viral, boleh kena tindakan. Semoga suamiku cepat kaya supaya aku boleh pencen awal,” katanya berseloroh namun penuh makna.


Perkongsian itu mendapat reaksi pelbagai dalam kalangan netizen, dengan rata-ratanya menyokong tindakan guru tersebut.

“Zaman kami dulu, cikgu lebih tegas. Tapi kami faham itu semua untuk kebaikan. Tak faham ibu bapa sekarang, macam tak pernah sekolah,” kata seorang pengguna Facebook.

“Anak tak siap kerja sekolah, cikgu tegur pun salah. Macam mana nak jadi manusia berdisiplin kalau semuanya nak diselindung dan dimanjakan?” ujar seorang lagi.


Isu ini sekali lagi membangkitkan perdebatan tentang peranan guru, keibubapaan, dan disiplin pelajar, yang semakin kompleks dalam era digital serta masyarakat berkesedaran tinggi terhadap hak dan sensitiviti individu.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post