KUALA LUMPUR, 18 Jun 2025 – Sikap sambil lewa seorang wanita yang hamil selama sembilan bulan namun langsung tidak menjalani sebarang pemeriksaan kesihatan sepanjang kehamilannya mencetuskan kemarahan warganet dan staf kesihatan.
Kisah tersebut dikongsi oleh seorang petugas perubatan di platform Thread yang menyifatkan tindakan wanita itu sebagai pengabaian serius terhadap kandungan dan keselamatan bayi dalam rahimnya.
“Ada ke patut seorang pesakit mengandung sembilan bulan datang ke unit aku nak beranak, tapi bila ditanya langsung tak tahu berapa minggu mengandung. Tanya buat check-up kat mana pun jawab tak pernah,” kongsi petugas itu.
Menurutnya, pesakit berkenaan langsung tidak mempunyai sejarah rawatan kehamilan (antenatal history) dan kelihatan seolah-olah tidak kisah langsung tentang kandungan sendiri.
Tambahnya lagi, apabila ditegur oleh jururawat, wanita itu mula bersikap defensif dan menganggap mereka terlalu garang.
“Tolonglah wahai ibu-ibu muda, tolong ambil berat tentang kehamilan anda. Kalau jadi apa-apa, bukan nurse yang menangis… awak yang menangis,” tegasnya.
Perkongsian tersebut mengundang ribuan reaksi dari warga maya yang rata-ratanya menyelar sikap acuh tak acuh wanita itu terhadap kehamilannya.
“Zaman sekarang 24 jam pegang telefon, takkan tak tahu keperluan buat pemeriksaan ibu mengandung,” kata seorang pengguna.
“Bila anak jadi mangsa, baru nak menyesal. Teruk sangat mentaliti macam ni,” tambah seorang lagi.
Ada juga netizen yang berkongsi kisah hampir sama yang pernah mereka alami atau saksikan sendiri.
“Ada pesakit kata perut ada angin, tapi bila sakit sangat masa nak buang air, rupa-rupanya tengah bersalin,” kongsi seorang pengguna media sosial.
“Kes bersalin dalam tandas pun dah jadi biasa. Kadang-kadang pesakit pun tak sedar dia mengandung, terutama yang alami haid tak teratur dan belum bersedia,” tambah seorang lagi.
Pakar kesihatan awam sebelum ini telah berulang kali menekankan pentingnya rawatan antenatal bagi memantau perkembangan janin, mengenal pasti risiko kelahiran dan memastikan kesihatan ibu.
Kehamilan tanpa pemantauan bukan sahaja membahayakan bayi, malah boleh membawa risiko kematian ibu ketika bersalin, terutama dalam kes-kes komplikasi seperti pra-eklampsia, anemia teruk, atau kelahiran songsang.
Post a Comment