Seorang kanak-kanak lelaki yang gembira menerima hadiah daripada gurunya terpaksa menelan kekecewaan apabila hadiah tersebut diminta diserahkan kepada sepupunya sendiri, gara-gara tidak mahu budak itu meragam.
Menurut perkongsian ibunya di media sosial, anak lelakinya menerima hadiah sebuah robot permainan sebagai ganjaran kerana berani menjawab soalan di hadapan kelas. Namun kegembiraannya hanya seketika apabila sepupunya menangis kerana mahukan mainan tersebut.
"Balik dari sekolah, dia tunjuk robot tu sambil bercerita dengan bangga. Tapi bila singgah rumah mak nak ambil anak buah, sepupu dia terus jerit-jerit nak mainan tu dan tak nak balik," ceritanya.
Situasi menjadi semakin tegang apabila ibu kepada wanita itu menyuruh cucu lelakinya menyerahkan hadiah tersebut, walaupun budak itu menangis sambil berkata, “Cikgu bagi abang sebab abang tulis kat depan.”
Lebih menyedihkan, kanak-kanak itu terpaksa mengalah dalam keadaan menangis, selepas ibunya memujuk untuk meredakan keadaan.
“Anak aku cakap semua barang dia sebelum ni kena bagi dekat ‘adik’, sampai dia dah tak ada mainan. Bila aku pujuk juga, dia menangis dan serah mainan tu. Sedih sangat tengok,” katanya.
Tambah mengecewakan, si ibu turut terkena tempias apabila nenek kepada kanak-kanak itu menyalahkan guru kerana memberi mainan, dan menuduh anaknya mengajar anak ‘boros’ beli permainan.
Luahan itu mengundang simpati dan kemarahan ramai warga maya yang menyifatkan tindakan memaksa kanak-kanak mengalah atas hadiah miliknya sebagai tidak adil dan merosakkan emosi anak kecil.
“Budak baru rasa dihargai, tapi terpaksa bagi hadiah sebab orang lain menangis. Tak adil langsung,” komen seorang pengguna.
“Salah satu punca anak jadi pendiam atau rendah diri. Mereka rasa semua milik sendiri pun boleh dirampas,” tambah seorang lagi.
Ada juga netizen yang bertegas bahawa anak-anak perlu diajar menghormati hak milik orang, bukannya dimanjakan sehingga merampas barang orang lain hanya kerana menangis.
“Kalau saya memang takkan bagi. Saya akan tegur anak buah, bukan anak sendiri yang terima hadiah dengan usaha sendiri.”
Post a Comment