Suami Isteri Maut, Tiga Anak Parah dalam Kemalangan Ngeri

 

PEKAN, 18 Jun 2025 – Sepasang suami isteri maut manakala tiga anak mereka parah selepas kereta yang dinaiki sekeluarga itu terbabas dan bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Kampung Batu Lapan, Lepar, malam tadi.


Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Jamal Azizul Samat, 44, dan isterinya Lizawati Abdullah, 41, yang berasal dari Felda Chini Timur 1, Pekan.


Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 10 malam ketika keluarga terbabit dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Segamat.

“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan semasa cuba memotong sebuah kenderaan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Perlanggaran itu menyebabkan pasangan suami isteri berkenaan tersepit di tempat duduk hadapan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.


Sementara itu, tiga anak pasangan tersebut yang berusia antara 6 hingga 17 tahun mengalami kecederaan parah dan telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan bagi menerima rawatan lanjut.


Pemandu lori berusia 31 tahun dan dua kelindan lori yang turut terlibat dalam kemalangan itu hanya mengalami cedera ringan. Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.


Mohd Zaidi memaklumkan bahawa kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.

“Kami menyeru semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati, terutama ketika memotong di jalan dua hala bagi mengelakkan kemalangan seperti ini,” tambah beliau.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post