Seorang wanita meluahkan rasa sedih selepas dimarahi oleh jirannya gara-gara isu pembuangan sampah di luar kawasan rumah yang sebenarnya berpunca daripada anaknya yang menghidap autisme.
Menerusi satu hantaran di media sosial, wanita tersebut menjelaskan bahawa dia ditegur keras oleh seorang lelaki warga emas apabila anaknya dilihat membuang barangan di kawasan bersebelahan rumah mereka.
“Anak autism aku pergi buang barang kat area sebelah rumah. Lepas tu datang seorang pakcik sound... ‘kenapa buang-buang sampah, kau ingat ni tempat buang sampah ke? Pergi buang kat tong.’”
Menurutnya, dia cuba menjelaskan bahawa individu yang membuang barang itu sedang mengalami masalah kesihatan, namun jawapan tersebut tidak diterima oleh lelaki terbabit yang kemudiannya membalas dengan sinis:
“‘Kalau tak sihat pergi klinik, yang buang sampah kat sini kenapa?’,” katanya mengimbas semula kejadian itu.
Walaupun berasa tertekan, wanita tersebut memilih untuk tidak menjelaskan secara terperinci bahawa anaknya merupakan seorang kanak-kanak autistik, kerana khuatir tidak difahami.
“Nak terangkan autism takut tak faham. Malaysia belum lagi negara yang mesra autism seperti United Kingdom, Australia, Jepun dan Singapura,” katanya dalam nada kesal.
Namun begitu, perkongsian wanita berkenaan menerima reaksi bercampur daripada netizen. Ramai berpendapat bahawa beliau sepatutnya menjelaskan situasi sebenar dari awal agar tidak timbul salah faham.
“Pakcik tu tak salah pun. Kalau awak tak jelaskan anak tu autistik, dia pun tak tahu. Tak semua orang boleh agak,” kata seorang pengguna media sosial.
“Dalam psikologi, ini dipanggil just-world fallacy iaitu kita cenderung menyalahkan orang bila situasi tak diterangkan dengan jelas. Kalau dari awal diberitahu anak ada autisme, pasti pakcik itu akan faham,” tambah seorang lagi netizen.
Autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) adalah gangguan perkembangan saraf yang menjejaskan keupayaan individu untuk berkomunikasi, berinteraksi sosial, dan mengawal tingkah laku. Kanak-kanak autistik sering menunjukkan tingkah laku luar jangka, termasuk kecenderungan untuk melakukan sesuatu secara berulang atau tanpa kesedaran sosial.
Kes ini menyorot pentingnya kesedaran masyarakat terhadap spektrum autisme serta keperluan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang, terutamanya terhadap golongan yang mempunyai keperluan khas.
Post a Comment