Seorang wanita meluahkan rasa terkilan selepas anaknya yang masih kecil dibiarkan sendirian di lobi sebuah hotel oleh rakan baiknya sendiri tanpa sebarang pemberitahuan.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mila berkata, insiden itu berlaku ketika dia membawa anak dan rakannya menginap bersama di sebuah hotel. Ketika kejadian, dia terpaksa ke tandas dan meminta rakannya melihat anaknya yang berusia tiga tahun.
Namun sangkaannya meleset apabila seorang pekerja hotel memanggilnya dan memaklumkan bahawa anaknya sedang bersendirian di lobi hotel tanpa pengawasan.
"Saya terpaksa tinggalkan anak sekejap sebab kecemasan ke tandas. Bila keluar, saya terkejut apabila pekerja hotel beritahu anak saya seorang diri. Rupa-rupanya, rakan saya sudah keluar dari hotel bersama suaminya tanpa memberitahu apa-apa," katanya dalam hantaran di media sosial.
Menurut Mila, apa yang lebih mengecewakan adalah sikap acuh tak acuh rakannya selepas insiden itu. Rakannya tidak menghubungi atau memohon maaf, malah hanya memberikan alasan bahawa suaminya tergesa-gesa.
"Saya mesej bertanya kenapa tinggalkan anak saya begitu sahaja. Jawapannya cuma, ‘suami saya nak cepat, nak buat macam mana’. Langsung tiada rasa bersalah,” ujarnya.
Mila menambah, sebelum ini dia pernah menjaga anak rakannya dengan penuh sabar walaupun anak rakannya merosakkan bilik hotel dan merampas mainan milik anaknya.
Lebih mengecewakan, selepas kejadian, Mila turut disindir secara tidak langsung menerusi hantaran media sosial rakannya. Bagi mengelakkan pertelingkahan berpanjangan, dia mengambil keputusan untuk menyekat dan memadam nombor rakannya itu.
Insiden tersebut menarik perhatian ramai pengguna media sosial, yang rata-rata bersimpati dengan situasi Mila dan mengecam tindakan tidak bertanggungjawab rakannya itu.
“Kalau melibatkan keselamatan anak, memang tak boleh bertolak ansur. Tinggalkan anak umur tiga tahun tanpa pengawasan sangat berbahaya,” komen seorang netizen.
“Bukan kawan kalau sanggup tinggal anak orang macam tu. Sekurang-kurangnya telefon dahulu, jangan buat keputusan sendiri,” kata seorang lagi pengguna media sosial.
Kisah ini menjadi peringatan kepada ibu bapa agar lebih berhati-hati dalam memilih individu yang dipercayakan untuk menjaga anak mereka, walaupun individu itu adalah rakan rapat sendiri.
Post a Comment